Pada 14 Januari 2025 (Selasa), YBrs. Ustaz Hamdan bin Jar’ee, Pengarah JAKIM Sarawak, telah berbesar hati menghadiri majlis penutupan rasmi Kursus Kepimpinan SMK Matang Jaya 2025. Program ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Badan Perwakilan Murid (BPM) dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Matang Jaya serta mendapat sokongan penuh daripada JAKIM Sarawak.
Program ini dirangka untuk memperkukuhkan nilai kepimpinan dan jati diri dalam kalangan pelajar, sejajar dengan usaha melahirkan generasi pemimpin muda yang berintegriti dan berwawasan. Sepanjang kursus ini, pelajar telah didedahkan kepada pelbagai modul, termasuk ceramah daripada Inspektor Freddiana Zilla Anak Langi dan Encik Wan Samsul Tajrie Bin Wan Sekri, latihan public speaking, dan sesi pengurusan unit.
Majlis penutupan disempurnakan oleh YBrs. Ustaz Hamdan bin Jar’ee, yang turut menyampaikan amanat penting mengenai peranan kepimpinan pelajar sebagai tonggak kejayaan masa depan ummah. Penglibatan JAKIM Sarawak dalam program ini menzahirkan komitmen mereka dalam menyokong pembangunan modal insan berkualiti.
Adalah diharapkan program ini dapat memberi impak positif kepada pelajar, membimbing mereka menjadi pemimpin yang cemerlang dan menyumbang kepada kemajuan masyarakat. Insya-Allah.